Thursday, September 24, 2009

DILEMA KAKITANGAN AWAM PERSEKUTUAN DI SABAH

Konsep 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan baik dari seluruh rakyat Malaysia dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju terutama sekali di Negeri Sabah. Konsep ini dikatakan dapat membantu seluruh lapisan masyarakat untuk menyamaratkan apa jua jurang perbezaan antara semua kaum di Malaysia. Jika kita dengar melalui ceramah, Ucapan dan akhbar tempatan konsep ini memang baik. Namun jika dikaji secara teliti konsep ini, ia tidak menggambarkan keadaan sebenarnya 1 Malaysia. Bak kata pepatah " Indah Khabar Dari Rupa" kerana terlalu banyak jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tidak diambil perhatian oleh kerajaan. Bagaimana Kerajaan nak meyakinkan rakyat tentang dasar yang mereka gubal sedangkan pada masa yang sama kerajaan cuba menidakkan segala hak-hak rakyat melalui sistem pentadbiran kerajaan yang hipokrit serta berlandaskan kepentingan diri pemimpin. Rakyat faham bukan mudah bagi kerajaan untuk menunaikan semua permintaan rakyat, namun kerajaan seharusnya mengambil perhatian dan mengkaji semula setiap jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.


Sebagai rakyat Malaysia, kita bukannya menentang mahupun tidak menyokong setiap dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, namun jika dasar tersebut menidakkan hak-hak rakyat maka rakyat harus bangun untuk memperjuangkan hak-hak mereka.


Menyentuh tentang nasib yang melanda kakitangan Awam Persekutuan di Negeri Sabah, baru-baru ini satu surat pekeliling dari Jabatan Bendahari Negeri Sabah bertarikh 28 Mei 2009 Bil.JBNS:(A)200-1/241 Kit.6/(1) yang ditujukan kepada kakitangan awam persekutuan yang menduduki rumah kerajaan Negeri dimana Surat pekeliling tersebut menyatakan penetapan kadar Sewa Ekonomi yang baru ke atas Kuarters kerajaan Negeri yang diduduki oleh pegawai-pegawai Persekutuan. Kadar sewa ekonomi melalui surat pekeliling tersebut telah dinaikkan secara mendadak. Kadar sewa ekonomi tersebut adalah seperti berikut:


Kuarters Pegawai Kumpulan 1 dan Jawatan Khas :
Kadar Sewa Lama RM400.00 - Baru RM1000.00


Kuarters Pegawai Kumpulan II


Kadar Sewa Lama RM250.0 - Baru RM500.00


Kuarters Pegawai Kumpulan III

Kadar Sewa Lama RM180.00 - Baru RM350.00


Jabatan Bendahari Negeri memberi alasan bahawa setelah dikaji dan mengambil kira keadaan semasa kadar sewa ekonomi ini dinaikkan. Alasan tersebut tidak logik dan tidak masuk akal. Jika Jabatan Bendahari Negeri mengambil kira keadaan semasa sebagai alasan untuk menaikkan kadar sewa tersebut, Jabatan ini juga seharusnya mengambil kira keadaan kos tanggungan sara hidup kakitangan awam persekutuan yang berpendapatan rendah. Kenaikkan sewa ekonomi hanya sesuai dikenakan kepada kakitangan awam yang berasal dari Semenanjung Malaysia mahupun dari Sarawak kerana elaun perumahan mereka adalah tinggi apabila bertugas di Negeri ini. Mungkinkah kerajaan Negeri menganggap bahawa kakitangan awam persekutuan semuanya bergaji tinggi sebab itu kerajaan Negeri sewenang-wenangnya menaikkan kadar sewa tersebut. Tindakan menaikkan kadar sewa ekonomi ini merupakan satu penganiayaan kepada kakitangan awam persekutuan. Kenaikkan Sewa Ekonomi yang baru ini terlalu tinggi sekali bagi kakitangan awam Persekutuan. Bagi mereka yang bergaji besar mungkin tidaklah membebankan tetapi bagi pegawai kumpulan III dimana gaji kasar mereka dibawa RM1500.00 tidakkah ini membebankan? Dimanakah keadilan bagi mereka? Mengapa kakitangan awam persekutuan di negeri ini diabaikan oleh kerajaan Negeri. Sedangkan kakitangan awam persekutuan juga selama ini bertungkus lumus mencurahkan tenaga bakti demi membantu kerajaan negeri untuk mengekal dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan. Kadar baru ini tidak menepati gagasan dan konsep YAB Perdana Menteri Malaysia iaitu 1Malaysia Rakyat di dahulukan pencapaian diutamakan. Sebagai penjawat awam dan juga rakyat Malaysia, dilema kakitangan awam ini perlu diselesaikan dan diberi pertimbangan seadil-adilnya. Jika boleh elaun perumahan bagi kakitangan awam di Sabah diselaraskan dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak.